Larangan merokok: 22 notis dikeluarkan - Utusan Malaysia

Larangan merokok: 22 notis dikeluarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 3 Jan. – Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah mengeluarkan 22 notis amaran di tempat makan setakat pukul 3 petang pada hari pertama penguatkuasaan kawasan larangan merokok semalam, hasil lawatan ke 319 premis.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal berkata, dalam tempoh itu juga, sebanyak 957 risalah dan nasihat individu turut diberikan.

Pada masa sama, pihak jabatan kesihatan turut mempergiatkan penguatkuasaan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di kawasan la­rangan merokok yang lain.

“Adalah diharapkan, dengan perluasan kawasan larangan merokok ini, masyarakat dapat menolak budaya merokok di khalayak ramai dan semakin ramai perokok akan berhenti merokok,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tambahnya, perkhidmatan untuk membantu berhenti merokok turut disediakan di klinik kesihatan di seluruh negeri atau mereka boleh melayari halaman http://jomquit.moh.gov.my bagi mendapatkan maklumat berkaitan.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor juga sudah memulakan kempen larangan merokok di tempat makan sejak bulan lalu melalui advokasi dengan pihak kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah, persatuan penjaja dan peniaga selain mening­katkan kesedaran orang ramai melalui media sosial dan radio.

“Justeru, kami menyeru semua pihak supaya dapat bersama-sama berganding bahu dalam memastikan peraturan ini dapat dipatuhi bagi memastikan Johor Bebas Asap Rokok,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kawasan sekitar daerah ini mendapati, terdapat pemilik premis yang menyediakan ruang pada jarak tiga meter dari tempat mereka berniaga.

Selain itu terdapat juga mereka yang tidak menghiraukan larangan menghisap rokok di kedai makan apabila meneruskan tabiat mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×