UNTUK kekal bersaing dalam dunia perniagaan, kita tidak boleh sekali-kali berniaga ikut syok sendiri. Berniaga ikut rasa sendiri akan menyebabkan kita dipaksa atau terpaksa menelan kepahitan sebagai ahli perniagaan yang gagal.
Dalam situasi itu, bukan hanya wang ringgit yang dilaburkan dalam perniagaan berkenaan hangus, bahkan pengorbanan tenaga dan masa yang diluangkan turut menjadi sia-sia.
Berikutan hakikat itu, salah seorang pengasas Trust Issue KL Cafe, Muhammad Attiq Hanaffi menjadikan satu kemestian baginya untuk memastikan kafe berkenaan bergerak selari dengan perubahan semasa.
Menurutnya, hidangan yang ditawarkan perlu menepati cita rasa masyarakat tempatan walaupun konsep kafe berkenaan mengetengahkan menu pelbagai hidangan gabungan (fusion).
Penekanan itu penting kerana beliau menyifatkan ‘tekak’ rata-rata masyarakat tempatan agak sukar menerima penggunaan bahan mentah import walaupun hidangan yang ditawarkan itu berasal dari luar negara.
“Selain menggunakan resipi yang telah diolah mengikut selera dan cita rasa rakyat tempatan, boleh dikatakan kebanyakan menu yang ditawarkan dihasilkan sendiri oleh chef kami.
“Begitu juga dengan bahan-bahan yang digunakan, sama ada bahan basah mahu pun kering, kami banyak menggunakan barangan tempatan berbanding yang diimport,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Mega Rona di premis perniagaannya yang terletak di No. 102, Jalan Dataran Dwitasik, Bandar Seri Permaisuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kafe itu menawarkan lebih 20 menu pilihan pelanggan dan sudah pasti setiap sajian yang ditampilkan mempunyai keistimewaan tersendiri.
Beroperasi pada hari Isnin hingga Khamis, bermula pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam, manakala pada hari Jumaat pukul 4 petang hingga 1 pagi. Hari Sabtu dan Ahad pula, dari pukul 12 tengah hari hingga 1 pagi.
Kafe hasil cetusan ideanya dan tiga rakan kongsi lain, Muhammad Shahrul Nizam Mohd. Radzir, Muhammad Shafiq Mohammad Matsom dan Mohamad Haikal Mohamad Raffique itu bermula pada pertengahan 2016.
Selain hidangan enak cita rasa tempatan, pihaknya memilih dekorasi yang lebih ringkas dan santai. Limpahan lampu menerangi segenap ruang kafe memberikan keselesaan kepada pelanggan yang sedang menjamu selera sambil diiringi alunan muzik.
Antara hidangan yang mesti dicuba adalah pasta aglio olio ayam percik dan espetada (kebab gantung). Turut ditawarkan aneka minuman daripada panas, sejuk, coklat, teh, moktail dan smooties.
Dalam masa sama, Muhammad Attiq berkata, usaha yang dilakukan sekarang adalah memantapkan lagi strategi pemasaran jenama kafe tersebut dengan memberi keutamaan kepada pelanggan baru termasuk syarikat korporat.
Katanya, usaha tersebut penting kerana trend persaingan kini tidak hanya memerlukan pihaknya memastikan kualiti hidangan sentiasa terjaga, bahkan perlu keluar mencari pelanggan.
“Kami tidak boleh lagi tunggu pelanggan masuk, tetapi ‘kena bawa’ mereka masuk. Antara yang telah saya buat adalah mengadakan pertunjukan fesyen, jemput selebriti popular dan kerap adakan food review,” katanya.










