BUKAN sahaja mempunyai paras rupa menawan, malah Intan Masmira Syamira Saipul Azhar, 20, juga mempunyai bakat besar dalam bidang perniagaan.
Siapa sangka pada usia muda, Intan Masmira yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang Pengurusan Perdagangan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis sudah bergelar usahawan berjaya melalui perniagaan tudung jenama sendiri.
Anak sulung kepada beradik itu juga bijak membahagikan masa sebagai pelajar dan dalam masa bergerak aktif mempromosikan jenama tudungnya Masyerascarf menerusi laman sosial.
Kata anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu, dia begitu minat dalam perniagaan sejak dari kecil, memandangkan keluarganya juga terlibat dalam bidang sama.
“Sejak kecil saya membantu nenek yang mengusahakan kedai runcit dan apabila menginjak ke usia remaja, saya ingin mencuba berniaga sendiri.
“Saya mula berniaga tudung sejak tingkatan empat. Selepas itu, saya terus berusaha mengembangkan perniagaan sehingga akhirnya dapat menghasilkan jenama sendiri.
“Insya-Allah selepas tamat belajar nanti, saya berhasrat membuka butik seterusnya mengembangkan perniagaan,” katanya kepada S2, baru-baru ini.
Intan Masmira bergerak aktif dalam Instagram dan Facebook bagi mempromosikan tudung.
“Selalunya saya mempromosikan tudung selepas waktu kelas. Masa terluang itu saya gunakan untuk menjalankan perniagaan.
“Untuk berjaya dalam sesuatu perkara yang dilakukan bukan mudah, tetapi menuntut kita untuk bekerja keras dan dalam masa sama jangan sesekali berputus asa,” katanya.
Sementara itu, menyentuh mengenai isu-isu semasa di negara ini, Intan Masmira melihat masalah berkaitan perkauman sejak akhir-akhir ini mulai tegang.
Katanya, situasi itu perlu segera diatasi selain berharap tidak ada pihak yang mengambil kesempatan menyemarakkan api perkauman.
“Selama ini kita hidup dalam keadaan harmoni dan suasana itu perlu dikekalkan. Di sini, kami berkawan dengan semua bangsa yang dianggap seperti keluarga sendiri,” katanya.










