KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak risau akan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman oleh tujuh individu bagi mencabar keputusan Kementerian Kesihatan yang menguatkuasakan larangan merokok bermula hari ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, mereka mempunyai hak untuk berbuat demikan dan tidak akan berkompromi tentang aspek kesihatan rakyat negara ini.
“Ini negara demokrasi dan mereka ada hak untuk nyatakan pendirian mereka. Kami sedia untuk berhadapan dengan mereka di mahkamah dan kami tahu pelaksanaan ini memang sah dengan peratusan kawalan tembakau dan rokok ini.
“Jadi kita jumpa di mahkamah dan lawan kes ini dan lihat siapa yang akan berjaya dalam program menjamin kesihatan rakyat khususnya anak-anak dan warga emas yang tidak boleh pertahankan diri mereka di tempat awam,” katanya ketika membuat tinjauan dalam program ‘Walkabout promosi tempat makan sebagai kawasan larangan merokok’ semalam.
Tujuh pemohon itu memfailkan permohonan mereka secara ex-parte (sebelah pihak) di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui pemfailan e-filing, menerusi Tetuan Haniff Khatri.
Mereka adalah Mohd. Hanizam Yunus, 52, Zulkifli Mohamad, 56, Mohd Laisani Dollah, 46, Mohd. Sufian Awaludin, 35, Ridzuan Muhammad Noor, 52, Mohd Yazid Mohd Yunus, 48, dan Yuri Azhar Abdollah, 39.
Dalam permohonan tersebut, kesemua pemohon yang bertindak mewakili diri sendiri dan perokok yang menyokong usaha Pro-Tem Pertahankan Hak Perokok, menamakan Kementerian Kesihatan Malaysia selaku responden.
Pemohon turut menyatakan bahawa larangan merokok itu bertentangan Perlembagaan Persekutuan kerana ia bukan aktiviti jenayah sehubungan itu, aktiviti terbabit sah daripada segi undang-undang yang dijamin perlembagaan.
Menurut mereka, perokok mempunyai hak sama rata dengan golongan tidak merokok untuk mengunjungi dan meluangkan masa di premis makan. – K! ONLINE










