9 individu terperangkap dalam lif - Utusan Malaysia

9 individu terperangkap dalam lif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG 1 Jan. – Seramai sembilan individu berdepan dengan detik cemas apabila terperangkap di dalam sebuah lif hampir setengah jam di sebuah pasar raya terkemuka di Meru, dekat sini malam tadi.

Bagaimanapun, tindakan pantas salah seorang mangsa yang menghubungi pihak bomba menyelamatkan mereka dalam kejadian kira-kira pukul 8.55 malam itu.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar, Nurul Azman Muhammadan berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan pukul 9.08 malam, seramai 13 anggota termasuk pegawai bersama jentera daripada BBP Kapar dan Sungai Pinang bergerak ke lokasi kejadian.

Menurutnya, setibanya di lokasi lapan minit kemudian, sembilan individu termasuk kanak-kanak berusia sembilan tahun dipercayai baharu pulang daripada membeli-belah terperangkap dalam lif dan berada keadaan berpeluh.

“Namun, tiada mangsa yang sesak nafas dan lif tersebut didapati turun pada kedalaman sehingga 0.6 meter daripada aras lobi keluar pasar raya tersebut.

“Siasatan awal mendapati penggera keselamatan di dalam lif tersebut tidak berfungsi dengan baik sehingga gagal menyambung isyarat kepada bilik kawalan keselamatan pasar raya,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Dalam pada itu, jelas Nurul Azman, pihaknya menjalankan kerja-kerja membuka pintu lif dengan menggunakan peralatan khas untuk menyelamatkan kesemua mangsa yang terperangkap.

“Kesemua mereka berjaya dikeluarkan dalam tempoh lima minit dan operasi selesai pada pukul 9.55 malam,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN