Semua ibu pejabat JPN laksana ePayment tahun depan - Utusan Malaysia

Semua ibu pejabat JPN laksana ePayment tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 4 Dis. – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan memperluaskan perkhidmatan ePayment ke semua ibu pejabat jabatan itu di seluruh negara tahun depan bagi memudahkan orang ramai berurusan di kaunter tanpa perlu membayar secara tunai.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, perkhidmatan menerusi kaedah penggunaan kad debit dan kad kredit itu akan diperluaskan ke kesemua 231 cawangan JPN di pelusuk negara secara berperingkat.

Beliau memberitahu, buat masa ini kemudahan seumpama itu terdapat di dua cawangan JPN iaitu di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Paya Bunga (PB) Square di sini selain di UTC Pasir Gudang, Johor.

“Bagi peringkat ibu pejabat, ePayment ini dilaksanakan di bahagian-bahagian tertentu, seterusnya kita akan perluaskan kaedah kemudahan bayaran melalui ePayment ini di semua pejabat JPN pada 2019 secara berperingkat,” katanya.

Mohammad Razin menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Pelancaran Kempen ePayment di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cawangan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Terengganu di PB Square di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah JPN, Datuk Jasri Kasim dan Pengarah JPN Terengganu, Mohamad Nasir Kareem.

Cawangan JPN di UTC di PB Square di sini merupakan projek perintis perkhidmatan ePayment yang mula dilaksanakan pada Mei lalu dan hari ini merupakan majlis pelancarannya secara rasmi dan perkhidmatan itu sehingga kini telah mendapat sambutan menggalakkan.

Perkhidmatan ePayment ini merupakan inisiatif penambahbaikan yang disediakan kerajaan khususnya JPN untuk memudahkan para pelanggan berurusan tanpa perlu membayar wang tunai sebaliknya menggunakan kad debit Maybank atau kad kredit Public Bank. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN