Rakam gambar pihak cetus provokasi - Utusan Malaysia

Rakam gambar pihak cetus provokasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Dis. – Sesiapa yang melakukan perbuatan provokasi pada himpunan aman bagi meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Sabtu ini akan dirakam.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim berkata, para petugas himpunan tersebut akan merakamkan gambar mana-mana pihak yang sengaja mencetuskan huru-hara seterusnya menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Jelas beliau, seramai 1,000 ahli daripada Jabatan Amal Pas telah dilantik untuk menjalankan tugas menjaga keselamatan di lokasi himpunan.

“Sebarang provokasi kita sudah maklumkan kepada pihak polis bahawa kita akan merakamkan gambar dan meminta polis membuat tangkapan dan pendakwaan dengan segera.

“Kita tidak akan berkompromi dalam perkara yang mencetus suasana gawat terhadap negara sebab kita fokus dengan apa yang kita ingin laksanakan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian mempelawa Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar dan anggota kerajaan supaya menyertai himpunan Sabtu ini.

Katanya, dakwaan Mahfuz kononnya himpunan ini akan merugikan para peserta kerana terpaksa mengeluarkan duit poket disifatkan sebagai tidak tepat.

“Mahfuz tidak puas hati sebab beliau kepala demonstrasi dahulu. Saya minta beliau hadir sekali Sabtu ini sebab hasrat itu terbuku dalam hati tak dapat diluahkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN