Peserta #DaulatHimpunan812 diminta elak kenyataan berbaur sensitif - Utusan Malaysia

Peserta #DaulatHimpunan812 diminta elak kenyataan berbaur sensitif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Dis. – Orang ramai yang menyertai perhimpunan #DaulatHimpunan812 menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) diminta untuk menjaga tutur kata terutamanya melibatkan isu-isu perkauman.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peserta perhimpunan perlu mengelak daripada menimbulkan situasi yang lebih tegang.

“Kita masih ada isu yang belum selesai seperti isu Kuil Sri Maha Mariamman dan dibimbangi jika isu ini berlanjutan, masyarakat akan mula takut.

“Jika ada peserta perhimpunan yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman, itu adalah sesuatu yang sangat tidak bertanggungjawab,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat bulan bersama warga polis di Ibu pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, kerajaan kini bersikap terbuka dengan keputusan rakyat untuk menyuarakan pendapat dan pendirian mereka.

Namun, jelas beliau, setiap peserta perhimpunan diminta untuk mematuhi Akta Perhimpunan Aman (APA 2012) bagi mengelak sebarang kekecohan berlaku.

Tambahnya, polis juga akan membuat kawalan rapi bagi mengawal perhimpunan tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN