Penyelesaian isu kuil ikut prinsip 'rule of law' - MB Selangor - Utusan Malaysia

Penyelesaian isu kuil ikut prinsip ‘rule of law’ – MB Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 4 Dis. – Langkah penyelesaian kepada isu kuil Sri Maha Mariamman, yang bakal dimuktamadkan minggu depan, dengan kerajaan negeri bertindak sebagai orang tengah kekal mempertahankan prinsip ‘the rule of law’.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, apa yang menjadi keutamaan kepada kerajaan negeri adalah memastikan soal keamanan serta kestabilan terjamin dan insiden rusuhan seperti minggu lalu tidak berulang kembali.

“Mana-mana pihak boleh kemukakan cadangan, namun saya harap pihak terbabit dapat bersabar kerana saya nampak semakin jelas (penyelesaiannya) selepas beberapa diskusi yang dibuat hari ini dan semalam.

“Seperti saya sebut, penyelesaian harus mempertahankan prinsip ‘the rule of law’ dan jika semua pihak bersetuju, mereka harus melalui beberapa proses perundangan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Minggu lalu tercetus rusuhan di kuil berkenaan hingga mencederakan lapan individu termasuk seorang anggota polis serta seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang parah dan sehingga kini masih dalam pemantauan rapi pihak hospital.

Sebelum ini, melalui proses perundangan, pada 28 September lalu, satu notis pengosongan dikeluarkan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengarahkan penghuni kuil itu mengosongkan tapak kuil pada atau sebelum 15 Oktober lalu.

Bagaimanapun, pada 10 November lalu, tiga penganut Hindu di kuil berkenaan memfailkan saman bagi menuntut antaranya perintah injunksi bahawa defendan atau orang lain dilarang daripada masuk, dan berada atau menggunakan kekerasan untuk mendapatkan semula hartanah kuil itu.

Mereka juga memohon supaya perintah persetujuan bersama itu batal dan tidak sah (null and void), salah di sisi undang-undang serta tidak berkuasa, selain kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Namun, pada 29 November lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak dengan kos terhadap permohonan plaintif atas alasan antaranya, permohonan plaintif tiada locus standi dan One City adalah pemilik sah tapak kuil berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN