KUALA LUMPUR 4 Dis. – Industri pelancongan perlu menerima trend penggunaan teknologi digital yang semakin meningkat dalam perjalanan pelancong dengan memanfaatkan sumber sektor awam-swasta, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Pelancongan (MOTAC) Datuk Mohamaddin Ketapi.
Beliau berkata menurut Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO), dalam dekad akan datang, pendigitalan dalam penerbangan, pengembaraan dan pelancongan dijangka menghasilkan nilai sebanyak US$305 bilion (RM1.2 trilion) bagi sektor berkenaan seiring dengan peningkatan keuntungan.
Ia akan turut menjana faedah bernilai US$700 bilion (RM2.8 trilion) kepada pelanggan dan masyarakat yang lebih meluas.
“Ini bermakna, lebih tinggi pendapatan pelancongan, lebih banyak peluang pekerjaan, perniagaan baharu dan penambahbaikan infrastruktur yang akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi keseluruhannya.
“Pada masa sama ia akan turut membantu dalam mempertingkatkan kefahaman budaya dan menyatupadukan masyarakat,” katanya dalam ucapan perasmian Forum Destinasi Pelancongan Dunia 2018 – Membina Destinasi Pelancongan Bertaraf Dunia yang Cemerlang, di sini hari ini.
Ucapan Mohamaddin disampaikan Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Rashidi Hasbullah. Turut hadir Datuk Dr Abdul Aziz S A Kadir, Pengerusi Confexhub Group yang menganjur forum berkenaan.
Forum Destinasi Pelancongan Dunia selama dua hari yang sebelum ini dikenali sebagai Persidangan Bandaraya Pelancongan Global itu akan berakhir esok, dengan tumpuan forum terarah kepada perancangan, pembangunan dan pengurusan destinasi pelancongan.
Kira-kira 200 peserta dari 19 negara mengambil bahagian dalam forum itu, antaranya United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Perancis, Rusia, Jepun, Jerman dan Sri Lanka.
Mohamaddin berkata untuk membina destinasi pelancongan bertaraf dunia yang cemerlang, perancangan dan keputusan yang dibuat sama ada berhubung dasar, produk atau promosi harus melibatkan semua pemegang kepentingan dalam sesebuah destinasi pelancongan, termasuk komuniti yang menjadi tuan rumah.
Sementara itu, Abdul Aziz turut mengambil maklum tentang trend yang semakin mencabar dalam pelancongan dunia hari ini yang berkembang melewati infrastruktur pelancongan dan seni bina ikonik selain bandaraya pelancongan terancang berbanding sebelum ini.
Beliau berkata landskap dalam industri pelancongan terus berkembang pada tahap yang lebih hebat dengan peningkatan teknologi digital, perkara berkaitan Internet, teknologi blockchain, kecerdasan buatan dan pelbagai inovasi lain yang dijangkakan di kebanyakan bandaraya pelancongan.
“Ia telah melepasi peringkat pembangunan, keselamatan, infrastruktur, berkaitan tema dan nilai sejarah. Pelancong hari ini melihat lebih daripada semua ini dan mahu merasai pengalaman serba baharu yang membawa kemudahan dan keselesaan ketika mereka melancong. Justeru, pemegang kepentingan dalam pelancongan dan agensi kerajaan berkaitan perlu berada pada kedudukan setara dengan perkembangan digital,” katanya. – BERNAMA










