Nurul Izzah protes Bersatu? - Utusan Malaysia

Nurul Izzah protes Bersatu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Dis. – Tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PKR dipercayai sebagai tanda protes terhadap kemasukan Ahli-ahli Parlimen UMNO ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mengikut sumber yang rapat dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah tidak selesa dengan kehadiran bekas Ahli-ahli Parlimen UMNO itu yang bakal menjadi ‘kingmaker’ untuk menentukan siapakah yang memegang jawatan Perdana Menteri.

NURUL IZZAH
NURUL IZZAH 

“Beliau kecewa dengan apa yang berlaku di dalam Pakatan Harapan (PH) apabila kemasukan bekas ahli-ahli UMNO akan menentukan siapa yang menjadi Perdana Menteri.

“Apabila mereka (Bersatu) hanya memiliki 13 kerusi Parlimen dan membawa masuk orang luar untuk menentukan keadaan, ini melanggari persetujuan PH,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Portal Malaysia Today hari ini pula melaporkan, Nurul Izzah membuat keputusan meletakkan jawatan selepas mengadakan pertemuan dengan Presi­den Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dah Pengarah Cawangan Khas, Datuk Abdul Hamid Bador.

Nurul Izzah sebelum ini pernah menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap perkemba­ngan lompat parti itu dan menyi­fatkannya sebagai satu pengkhi­a­natan terhadap mandat yang diberikan rakyat kepada gabu­ngan itu.

Beliau dilaporkan berkata, tindakan menerima wakil rakyat daripada parti lawan itu ibarat menghina ahli dan penyokong PH dan PKR yang selama ini setia terhadap perjuangan mereka.

Malah, ketika memuji Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai pembangkang yang hebat pada 11 Disember lalu, Nurul Izzah sen­diri mengharapkan Ahmad tidak melompat ke PKR mahupun Ber­satu.

Sebelum ini, timbul desas-desus kononnya hampir 40 Ahli Parlimen UMNO akan menyertai Bersatu dan jika menjadi realiti, Bersatu dan PKR bakal memiliki jumlah kerusi Parlimen yang hampir sama banyak sekali gus menjadi penentu siapa bakal menjadi Perdana Menteri.

Spekulasi liar kononnya Per­dana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri cuba menghalang kemaraan Anwar bukan sesuatu yang baharu, malah menjadi hangat semasa Pemilihan PKR apabila didakwa Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bekerjasama dengan pihak luar untuk memberi tekanan kepada Anwar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×