KEMAMAN 4 Dis. – Seorang jururawat Klinik Kesihatan Air Putih dekat sini nyaris maut apabila kereta yang dipandu terbabas sebelum jatuh ke dalam parit di kilometer 8 Jalan Cukai – Air Putih di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 7.40 pagi itu, mangsa, Engku Ermanazira Engku Azmi, 29, dari Kampung Geliga, Kuala Kemaman yang memandu kereta Proton Saga BLM dalam perjalanan ke tempat kerja di Klinik Kesihatan Air Putih.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, setiba tempat kejadian kereta dinaiki mangsa gagal mengelak haiwan melintas menyebabkannya hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam parit di situ.
Beliau bagaimanapun memberitahu, mangsa tidak mengalami kecederaan dan ketika kejadian cuaca hujan selain keadaan jalan berselekoh.
“Mangsa sempat keluar sendiri daripada kenderaan itu untuk menyelamatkan diri dan siasatan masih dijalankan berhubung kejadian itu,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










