REMBAU 4 Dis. – Dua orang maut manakala enam orang cedera dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 225.1 Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Anuar Bakri Abdul Salam berkata, mangsa yang meninggal dunia ialah Mohd. Azzarnuddien Abdullah, 41, yang beralamat di Pasir Gudang, Johor dan Sharifah Hawa Syed Mokhtar, 55, dari Labis, Johor.
Katanya, Mohd. Azzarnuddien memandu kereta Proton Wira dalam perjalanan dari Ayer Keroh, Melaka menghala ke Senawang dekat sini manakala Sharifah Hawa adalah penumpang kereta Mercedes-Benz dari arah bertentangan.
Tambahnya, dua lagi kenderaan yang terlibat dalam kemalangan kira-kira pukul 1.54 petang itu ialah sebuah kenderaan pelbagai guna jenis (MPV) Proton Exora dan sebuah lori, Isuzu.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Proton Wira hilang kawalan semasa tiba di tempat kejadian lalu merempuh bahagian belakang lori.
“Pelanggaran itu mengakibatkan lori tersebut hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan di lebuh raya itu lalu merempuh Proton Exora dan Mercedes-Benz,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










