SUKAR membayangkan apa yang bermain di kotak fikiran seorang wanita normal yang reda menerima jodoh seorang lelaki kurang upaya. Keputusan mengahwini Mohd. Nazri Md. Zain,25, tidak sedikitpun dikesali Norazlina Zakaria.
Malah dia tahu bahawa lelaki yang bakal menjadi suaminya lumpuh dan perlu diurus dari hujung rambut hingga hujung kaki sejak sah bergelar isteri kira-kira tiga tahun lalu.
Sejak hari pertama pernikahan, Norazlina melakukan rutin harian tanpa mengeluh. Malah, mengangkat tubuh seorang lelaki seberat 68 kilogram bukan satu beban yang terpaksa ditanggung, sebaliknya tugas itu disempurnakan tanpa kesal.
Apa yang lebih mengagumkan adalah Norazlina pernah lumpuh. Mengakui kesan kecederaan di tulang belakangnya masih terasa sejak pulih daripada kelumpuhan, wanita berusia 36 tahun ini cekal berbakti untuk suami tercinta.
Harapannya cuma satu iaitu mahu suaminya pulih seperti sediakala walau selama mana masa yang perlu diambil.
Hari demi hari yang berlalu menyaksikan pengorbanan Norazlina mula berbalas apabila suaminya sudah boleh menggerakkan tubuh sendiri untuk berpindah dari katil ke kerusi roda.
Malah ketika sesi fisioterapi dilakukan, Mohd. Nazri sudah mampu berlatih untuk berdiri dan melangkah.
Kemalangan yang menimpa Mohd. Nazri ketika bekerja pada 2014 menyebabkannya lumpuh seluruh badan. Kelumpuhan berlaku akibat kecederaan teruk di bahagian saraf tunjang dan sejak itu, dia hanya mampu terbaring.
“Melihat dia mampu melangkah bagaikan satu anugerah paling bermakna buat saya. Perasaan gembira sukar digambarkan dengan kata-kata. Ia seumpama dia (suami) hadiahkan beg LV (Louis Vuitton) yang paling cantik dan mahal kepada saya,” kata Norazlina sebak.
Bagi Norazlina, perasaan gembira bukan kepalang itu hanya dia dan Allah sahaja yang tahu kerana sebagai seorang bekas pesakit kecederaan saraf tunjang, dia arif benar perasaan mampu menggerakkan kaki yang lumpuh.
Kisah hitam Norazlina sendiri bermula tujuh tahun lalu setelah dia terlibat dalam kemalangan pada 2006 sehingga menyebabkan tulang belakangnya patah.
Hari demi hari, pemeriksaan demi pemeriksaan di hospital tidak menemui punca kesakitan yang teramat sangat ditanggung Norazlina walaupun doktor mengesahkan dia sihat.
“Suatu hari, saya pergi berurut dengan seorang buta. Sebaik sahaja tukang urut itu menyentuh tulang belakang saya, dia menyuruh saya ke hospital,” kata Norazlina.
Tanpa berlengah, Norazlina segera ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk pemeriksaan lanjut.
Setelah X-ray, doktor mendapati tulang belakangnya patah dan perlu dibedah.
“Setelah melalui episod persediaan pembedahan terutama kos, saya akhirnya dibedah untuk memasukkan skru dan implan pada bahagian terlibat.
“Setelah selesai pembedahan dan melalui proses pemulihan, badan terasa ringan. Kemudian saya lalui pula sesi terapi fisio. Namun tidak lama kemudian, kesihatan saya merosot dan belakang terasa sakit semula.
“Pemeriksaan kali kedua mendapati skru yang dipasang patah dan perlu dibedah sekali lagi. Selesai pembedahan, sakit yang dirasai lain macam. Keadaan itu membuatkan saya kecewa, marah dan mengalami tekanan perasaan,” katanya.
Namun, semakin lama dia mulai reda dengan keadaan yang menimpa. Kesakitan yang ditanggung menyebabkan Norazlina bergerak menggunakan kerusi roda.
Sepanjang tempoh itu, dia dijaga oleh keluarganya namun semakin hari, hatinya tidak senang duduk kerana perasaan membebankan mula menyelubungi diri.
Lalu dia membawa diri ke ibu kota dan saat itu, dia mula belajar berdikari dan kemudian mendapatkan rawatan di Pusat Rehabilitasi, Hospital Sungai Buloh.
Di pusat itu, Norazlina mula menanam azam untuk berubah. Mahu pulih dan tidak lagi mengharapkan bantuan sesiapa kecuali Allah sehingga akhirnya mampu berjalan tanpa menggunakan tongkat.
Norazlina kemudian menubuhkan kumpulan sokongan pesakit rehabilitasi di hospital tersebut dan di situlah, dia bertemu Mohd. Nazri.
“Saat bertemu dengan dia (Mohd. Nazri), saya jadi lebih bersemangat. Terus saya berniat untuk membantunya pulih,” katanya.
Semasa kedua-dua mereka menjalani proses pemulihan di Pusat Rehabilitasi Perkeso di Melaka, hati yang mula bertaut membuatkan Norazlina mengambil keputusan untuk ‘melamar’ sendiri Mohd. Nazri sebagai pasangan hidup.
Katanya, dia mahu menjaga pemuda itu secara halal sehinggalah dia pulih. Hasrat itu dinyatakan kepada keluarganya dan Norazlina bersyukur segala urusan dipermudahkan.
Kini setelah tiga tahun berkahwin, Norazlina dan Mohd. Nazri masing-masing menjadi kekuatan yang tidak dapat dipisahkan lagi.
Norazlina menghabiskan sepenuh masanya membantu suaminya melakukan pelbagai aktiviti pemulihan intensif di rumah.
Azam untuk pulih seperti sediakala tetap menjadi fokus utama buat Norazlina dan Mohd. Nazri.
Selebihnya mereka mahu menyumbang semula kepada masyarakat melalui khidmat membantu lebih ramai golongan senasib melalui Rumah Harapan Nur Aafiyah yang ditubuhkan di bawah Yayasan Prihatin Insan pada Ogos lalu.










