LIMBANG 17 Nov. – Seorang pekerja ditahan polis setelah mengacu parang kepada penyelianya dipercayai berikutan rasa tidak puas hati di Hospital Limbang kelmarin.
Dalam kejadian pukul 2.15 petang itu, mangsa berusia 34 tahun yang bertugas di Hospital Limbang didatangi suspek dengan membawa sebilah parang.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Bukhori Saffiai berkata, suspek berusia 31 tahun tersebut memarahi mangsa kerana tidak berpuas hati dengan markah Sasaran Kerja Tahunan (SKT) yang diterima.
“Mereka cuba berbincang namun suspek bertindak menghunus parang untuk cuba menyerang mangsa.
“Bagaimanapun, rakan sekerja mangsa yang ternampak kejadian itu berjaya menghalang cubaan suspek lalu beredar meninggalkan hospital itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini sebentar tadi.
Tambahnya, suspek tidak berpuas hati kerana memperoleh markah 80 peratus berbanding pencapaiannya sebelum ini iaitu 87 peratus.
“Suspek dikatakan memang seorang yang panas baran dan sudah bekerjasama selama dua tahun di bahagian kewangan Hospital Limbang dengan mangsa.
“Setelah laporan polis diterima, suspek ditangkap bersama sebilah parang yang digunakan menyerang mangsa di Kampung Patiambun pada pukul 12.35 tengah hari semalam.
“Suspek ditahan reman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










