Kongres PKR: Ahli diseru teruskan agenda reformasi - Wan Azizah - Utusan Malaysia

Kongres PKR: Ahli diseru teruskan agenda reformasi – Wan Azizah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan ahli parti agar menggenggam erat kepada idealisme dan agenda reformasi mereka.

Katanya, idealisme dan agenda tersebut perlu diteruskan dan dimantapkan lagi bagi membela yang hak serta menentang kebatilan.

“Kita lawan kezaliman dan tegakkan keadilan. Kita bela mereka yang lemah dan santuni yang gagah. Kita parti yang lahir dari perjuangan, keringat dan air mata rakyat di jalanan, bukannya lahir dengan hamparan permaidani indah.

“Tiada tokoh besar menyertai kita di era awal perjuangan reformasi namun kita tetap gagah berjuang kerana kuatnya keyakinan kepada agenda perjuangan. Oleh itu, jangan remehkan agenda transformasi. Perjuangan tanpa idealisme akan hancur dan musnah akhirnya,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Keadilan Ke-13 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Seksyen 15 di sini.

Turut hadir Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Pada masa sama, Wan Azizah berkata, para reformis yang berjuang bersama parti tersebut sejak 1998 perlu diiktiraf dan dihargai.

Katanya, ada antara mereka yang hilang pekerjaan akibat dibuang dan dipecat, jatuh bankrup kerana gagal membayar hutang bagi membiayai perjuangan, cedera dipukul serta dihina, dicaci serta dipenjarakan.

“Namun, mereka tegar berdiri menyatakan yang hak kepada pemimpin yang rakus dan zalim. Ramai juga yang telah pergi meninggalkan kita dijemput Ilahi. Al-Fatihah buat pejuang-pejuang rakyat,” katanya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN