SEJAK dibuka pada Ogos lalu, Rumah Harapan Nur Aafiyah di bawah naungan Yayasan Prihatin Insan memberi satu lembaran baharu buat penghuninya.
Diuruskan oleh Norazlina Zakaria dan suaminya. Mohd. Nazri Md. Zin, rumah tersebut turut dihuni oleh beberapa lagi pesakit kecederaan saraf tunjang yang menjalani latihan pemulihan intensif sehingga pulih.
Antara pesakit yang menerima manfaat rumah harapan itu ialah Nursawalniza Suratman, 25, yang mengalami kelumpuhan akibat kemalangan motosikal ketika ke tempat kerja.
“Sokongan yang saya perolehi di sini membina semula diri saya. Sebelum ini, saya keseorangan. Tiada siapa untuk bergantung harap. Tetapi di sini, saya bina semula semangat hidup dengan dikelilingi rakan-rakan senasib.
“Ke mana pergi…, kami bersama. Jadi, semangat itu luar biasa. Latihan fizikal setiap hari juga membolehkan saya mula mampu menggerakkan sendiri kerusi roda dan bangun dari katil sendiri,” katanya.
Norazlina, Mohd. Nazri dan Nursawalniza turut disertai seorang lagi rakan baik mereka, Sazali Saad yang lumpuh akibat kecederaan tulang belakang dalam kemalangan motosikal pada 2013.
Empat sahabat itu kini berusaha membina hidup baharu di Rumah Harapan Nur Aafiyah dengan sokongan masyarakat.
Menurut Norazlina, rumah tersebut yang terletak di kawasan perumahan teres di Sungai Buloh, Selangor menerima sokongan penduduk sekeliling yang sering membantu dalam banyak perkara yang diperlukan mereka.
“Jiran-jiran begitu memahami dan tidak lokek menghulur bantuan, misalnya ketika kami memerlukan kenderaan untuk keluar ke satu-satu tempat.
“Di sini juga, kami mempunyai jadual ketat untuk latihan fizikal setiap hari yang dikira sebagai fisioterapi intensif untuk pemulihan. Terdapat juga pesakit yang datang secara harian tetapi jumlah terhad kerana kekangan kawasan,” katanya.
Walaupun menerima bantuan dari beberapa pihak termasuk Yayasan Prihatin Insan, Norazlina berkata, mereka masih perlu membayar sewa rumah setiap bulan.
Untuk itu, katanya dia dan suami merancang untuk berniaga kecil-kecilan bagi menjana pendapatan dan menampung perbelanjaan tempat tinggal.










