BUKIT MERTAJAM 15 Okt. – Wanita yang disyaki cuba terjun daripada Jambatan Pulau Pinang tengah malam tadi dipercayai bertindak demikian kerana tertekan dengan suaminya yang berhutang dengan along serta mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, wanita itu kini berada dalam proses bertenang di rumahnya dekat sini selepas berjaya dipujuk suaminya dengan bantuan pihak bomba dan polis.
“Hasil soal siasat yang dijalankan, wanita yang berusia 34 tahun itu mengaku dia tertekan kerana suaminya berhutang dengan along serta berlaku curang dengan wanita lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah malam itu, wanita terbabit meninggalkan empat anaknya di dalam kereta Proton Exora yang diletakkan di tepi jambatan sebelum dia berdiri pada bahagian pembahagi jalan di kilometer 1 dari arah Perai menghala ke pulau.
Wanita itu berjaya diselamatkan oleh anggota bomba yang menerima maklumat daripada orang awam yang melalui kawasan itu sebelum diserahkan kepada pihak polis. – UTUSAN ONLINE










