SHAH ALAM – Naib Pengerusi DAP Selangor, Datuk Teng Chang Khim memaklumkan bahawa tiada dasar atau larangan bertulis yang melarang pemimpin parti itu untuk menerima pengurniaan darjah, bintang dan pingat kebesaran.
“Setahu saya, tidak ada larangan (terima darjah kebesaran). Mungkin ada sedikit salah faham dan setahu saya DAP tidak melarang pemimpin (terima darjah kebesaran).
“Sebab itu kena ada dasar bertulis berhubung isu ini yang akan dijadikan panduan kepada semua pemimpin DAP pada masa depan,”katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Chang Kim dikurniakan darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S) oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2010 memberitahu, satu dasar perlu diwujudkan berhubung isu itu demi kebaikan semua pihak.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Pengangkutan berkata, perkara berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat tertinggi parti berkenaan dalam masa terdekat.
“Seperti yang saya katakan tadi, parti kena ada dasar yang jelas atau dasar bertulis dalam isu ini. Sekiranya kita tidak mahu terima darjah kebesaran, ia boleh dibuat secara sopan kerana ada dasar bertulis.
“Sudah tentu masing-masing ada pendapat tersendiri mengenai isu ini. Walau apapun, sama ada terima atau tidak, ia kena dilakukan secara terhormat,” ujarnya.
Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membuat teguran secara terbuka kepada beberapa pemimpin parti itu yang menerima darjah, bintang dan pingat kebesaran daripada Melaka serta Sabah baru-baru ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, tindakan pemimpin berkenaan tidak mencerminkan semangat perjuangan sebenar parti itu, sekali gus memberikan persepsi lain kepada rakyat kerana parti itu tidak sampai setahun menjadi kerajaan. – K! ONLINE










