KUALA LUMPUR – Panel pakar minyak sawit Suruhanjaya Eropah (EC) akan mengadakan lawatan pertama ke Malaysia hujung bulan ini bagi menangani kebimbangan berhubung kemampan industri minyak sawit.
Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, beliau berharap anggota panel berkenaan akan mengiktiraf usaha Malaysia dalam mencapai Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada lawatan itu.
“Langkah berkenaan sangat penting kepada Kesatuan Eropah (EU) untuk mendapat maklumat jelas mengenai amalan penanaman dan pemprosesan minyak sawit di Malaysia.
“Ini akan membolehkan mereka menghargai kerumitan operasi yang dilalui dalam menghasilkan minyak sawit mampan di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Wacana Antarabangsa EU-Malaysia berkenaan Kemampanan Minyak Sawit (EU-Malaysia International Discourse on Palm Oil Sustainability) di sini hari ini.
Duta EU dan Ketua Delegasi ke Malaysia, Maria Castillo Fernandez berkata, panel berkenaan mengandungi empat pakar dan mereka akan melawat ladang serta menemui Majlis Minyak Sawit Malaysia, pihak berkepentingan dan pertubuhan bukan kerajaan.
“Mereka kemudian akan pulang ke EU dan berjumpa dengan penggubal undang-undang berhubung isu ini,” katanya dan menambah perbincangan antara Malaysia dan EU masih terbuka serta mereka komited dalam mengurangkan pelepasan karbon.
Sebelum ini, perunding EU bersetuju untuk menghentikan penggunaan minyak sawit bermula pada 2030 kerana dakwaan EC bahawa minyak sawit adalah antara punca terbesar kesan gas rumah hijau disebabkan oleh penebangan hutan.
Sehingga tahun 2017, nilai eksport minyak sawit Malaysia dan produk berasaskan minyak sawit ke EU adalah RM11.3 bilion, berjumlah 14.2 peratus daripada eksport global Malaysia.
Berhubung kekurangan pekerja di industri perladangan Teresa berkata, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia sudah membentuk jawatankuasa khas untuk mengkaji isu buruh di negara ini.
“Kabinet akan melihat jumlahnya dan keputusannya akan diketahui menjelang hujung tahun,” katanya. – Bernama










