KUALA LUMPUR – Kerajaan melaksanakan perbincangan berterusan mengenai penyelarasan hospital awam dan hospital pengajar universiti (HPU) bagi memastikan kualiti perkhidmatan perubatan kepada masyarakat serta sesi pengajaran dan pembelajaran pelajar di HPU tidak terjejas.
Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, ia juga bagi memastikan tidak wujud pertindihan tugas antara kedua-dua jenis hospital selain masyarakat jelas mengenai ‘terms of reference’ (terma rujukan) HPU.
“Hospital awam di bawah Kementerian Kesihatan memang peranan utamanya adalah memberi perkhidmatan kepada rakyat berbanding HPU (yang mana) perniagaan utama mereka ialah untuk berikan latihan dan pengajaran kepada doktor untuk didedahkan dengan praktikal serta tingkatkan kepakaran di samping tidak abaikan penyelidikan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang mahu sama ada kerajaan boleh mewujudkan inisiatif supaya fungsi utama HPU untuk menyediakan latihan klinikal kepada pelajar seimbang dengan perkhidmatan perubatan kepada masyarakat.
Maszlee menjelaskan HPU ditubuhkan di bawah perlembagaan universiti dan menerima pakai pekeliling kerajaan yang tertakluk kepada persetujuan Lembaga Pengarah Universiti berbanding hospital awam yang berada di bawah Kementerian Kesihatan. – Bernama










