ISTANBUL 2 Okt. – Seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini mencadangkan supaya satu kajian dilakukan secara menyeluruh untuk mengenal pasti jumlah sebenar golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.

Timbalan Dekan Jabatan Bahasa Arab UIAM, Dr. Mohd. Azrul Azlen Abd. Hamid berkata, sehingga sekarang belum ada mana-mana pihak yang membuat kajian tersebut sebaliknya masyarakat umum menghukum semua kategori golongan itu secara pukal.
Katanya, perkara itu sepatutnya tidak berlaku kerana setiap kategori memerlukan cara dan pendekatan yang berbeza untuk berhadapan dengan mereka.
“Pada masa ini, mereka yang berperwatakan lembut juga ‘diborong’ sebagai golongan LGBT.
“Seharusnya mereka yang lembut ini diberi nasihat dan dibimbing tetapi jika masih sama, asingkan mereka (keluarkan dari rumah),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk Pendekatan Nabi Luth dan Sunnah Dalam Berinteraksi Dengan Golongan LGBT : Satu Analisis Wacana sempena Seminar Warisan Nabawi (Swan) 2018 di International University of Renewal (IUR) di sini, hari ini.
Seminar selama dua hari itu dirasmikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Mohd. Azrul Azlen menjelaskan, pengasingan anak, bukanlah bertujuan untuk menghukum tetapi bagi memastikan si anak itu tidak mempengaruhi adik-beradiknya yang lain.
“Bagi kategori LGBT iaitu mereka yang melakukan hubungan seks sejenis, golongan ini perlulah diperbetulkan cara pemikiran melalui psikologi pula,” katanya.
Kata beliau, meskipun demikian, tiada jumlah statistik golongan yang melakukan seks sejenis ini untuk diambil tindakan selain sukar untuk membuktikannya.
“Melainkan mereka (LGBT) mengaku secara terang-terangan melakukan seks sejenis dan barulah boleh dihukum,” katanya.
Menurut beliau, Islam bukanlah agama menghukum tetapi setiap larangan adalah untuk menjaga kemaslahatan umat dan dalam hal ini, bagi mengelak merebaknya penyakit HIV. – UTUSAN ONLINE










