KOTA BHARU 2 Okt. – Kementerian Kerja Raya sudah membuat persediaan dan kini dalam keadaan berjaga-jaga menghadapi musim tengkujuh yang bakal bermula tidak lama lagi.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, pihaknya khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengenal pasti dan membuat peta jalan raya dan kawasan yang berisiko banjir untuk memudahkan sebarang tindakan.
Beliau berkata, satu mesyuarat penyelarasan kesiapsagaan banjir akan diadakan juga akan diadakan pada 16 Oktober ini.
“Kita juga sudah siapkan senarai nama, alamat dan telefon pegawai-pegawai penting untuk dihubungi.
“Keadaan cerun, longkang dan pembetung juga telah diperiksa dari semasa ke semasa agar ia adalah selamat, bersih dan tidak tersumbat,” katanya selepas merasmikan Hari Inovasi JKR 2018 di Hotel Grand Renai di sini hari ini.
Pada majlis itu, Kumpulan Lithium dari Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur diumum pemenang Anugerah Inovasi Terbaik melalui produk mereka F-Flex. – UTUSAN ONLINE











