JIM kaji keperluan dokumen IMM13 di Sabah - Utusan Malaysia

JIM kaji keperluan dokumen IMM13 di Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan mengkaji keperluan permohonan pendaftaran dokumen IMM13 melibatkan anak-anak kepada pemegang dokumen berkenaan dibuka di Sabah.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, kajian secara terperinci itu akan membabitkan pelbagai pihak seperti kerajaan negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM sebelum sebarang keputusan diputuskan.

“Sebarang pelaksanaan berkaitan dokumen IMM13 akan dilakukan sebaik sahaja hasil perbincangan dapat menentukan jumlah pemegang IMM13 di negeri ini.

“Perbincangan ini perlu dilakukan bagi memenuhi keperluan hak asasi seperti kemudahan perubatan dan pendidikan dalam kalangan kanak-kanak yang juga anak-anak kepada pemegang IMM13 di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk Musa Sulaiman.

Terdahulu, Mustafar mengadakan perjumpaan dengan pihak KDN dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bagi membincangkan status IMM13 di Sabah.

Dalam perkembangan berkaitan, JIM turut menafikan sebarang dokumen IMM13 dikeluarkan termasuk pemberian kad berkenaan kepada kanak-kanak orang tanpa kerakyatan (OTK) di sini.

Katanya, sepanjang tempoh sehingga 12 Oktober lalu, Jabatan Imigresen negeri hanya mengumpulkan data pemegang IMM13 dan bukannya mengeluarkan dokumen baharu.

“Tiada IMM13 yang dikeluarkan. Saya ingin jelaskan kita hanya mengumpulkan jumlah pemegang dokumen untuk tujuan bancian. Tindakan seterusnya bergantung kepada perbincangan lanjut,” jelasnya.

Tambahnya, setakat ini JIM tidak mempunyai rekod lengkap jumlah pemegang dokumen IMM13 di Sabah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN