PUTRAJAYA 15 Okt. – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengumumkan kenaikan dua pegawai pengurusan tertingginya hari ini.

Maritim Malaysia dalam satu kenyataan memberitahu, kenaikan pangkat itu melibatkan Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som kepada Laksamana Madya Maritim.
“Kenaikan itu adalah bagi mengisi kekosongan jawatan selaku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia setelah penyandang sebelum ini, Laksamana Madya Maritim (Bersara) Datuk Mohd. Taha Ibrahim bersara wajib pada 1 September lalu,” kata kenyataan tersebut.
Jelas kenyataan itu, Mohd. Zubil dilahirkan di Lenggong, Perak pada 1963 dan telah menyertai Maritim Malaysia sejak Julai 2006.
Menurutnya, beliau juga pernah berkhidmat bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama 25 tahun.
“Beliau sebelum ini memegang jawatan sebagai Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah
Persekutuan Labuan sejak 1 Mac 2016 sehingga 15 Oktober lalu,” katanya.
Sementara itu, kenyataan itu menambah, Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Tan Kok Kwee pula menerima kenaikan pangkat kepada Laksamana Madya Maritim dengan kekal memegang jawatannya.
Katanya, Kok Kwee dilahirkan di Seremban pada tahun 1960 dan menyertai Maritim Malaysia sejak Julai 2005.
Menurutnya, beliau juga pernah berkhidmat bersama Kastam Diraja Malaysia selama 23 tahun.
Sebelum ini, katanya, beliau pernah memegang jawatan selaku Pengarah Cawangan Siasatan Maritim dan Pengarah Maritim Wilayah Utara (WILUTA) selama enam tahun.
Terdahulu, majlis pemakaian pangkat telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifili Abu Bakar di sini. – UTUSAN ONLINE










