SHAH ALAM – Domino’s Pizza Malaysia merancang untuk mengembangkan cawangannya kepada 240 outlet menjelang akhir tahun ini daripada 223 outlet di seluruh negara ketika ini.
Timbalan Presiden Domino’s Pizza Operasi Malaysia dan Singapura, Shamsul Amree Abdul Rahman berkata, prospek bagi 2019 kelihatan cerah untuk sektor makanan dan minuman dan syarikat berkenaan berharap untuk mendapat lebih banyak peluang pertumbuhan.
“Setakat suku kedua 2017, Malaysia adalah pasaran Domino’s Pizza terbesar di Asia Tenggara dan kelima terbesar di Asia Pasifik,” katanya kepada pemberita pada pelancaran Peraduan Setiap Orang Adalah Pemenang Domino’s di sini, hari ini.
Shamsul Amree berkata, landskap perniagaan agak sukar, dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan diikuti dengan pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada September.
Bagaimanapun, 2017 adalah tahun yang hebat di samping Domino’s Pizza Malaysia meneruskan rancangan pertumbuhannya tahun ini dan menjangka 2019 turut positif, katanya sambil menambah bahawa pasaran akan menyesuaikan diri dengan SST tahun ini.
Menurutnya, peraduan tersebut menawarkan hadiah bernilai lebih RM130,000. Domino’s Pizza bekerjasama dengan rakan minuman lamanya, Etika Beverages Sdn. Bhd. dalam menjayakan peraduan itu untuk pencinta pizza.
Hadiah utama adalah sebuah Honda City baharu, manakala hadiah lain termasuk tiga unit Samsung Galaxy S9, 10 Logitech G560 Speakers Gaming, 20 Samsung Gear VR dengan pengemudi, 50 baucar untuk pizza besar Domino selama satu tahun dan Breadstix/Cinnastix percuma tanpa had dengan pembelian minimum sah selama dua minggu.
Pelanggan layak menyertai pertandingan itu mulai 8 Oktober hingga 4 November 2018 bagi setiap pembelian Domino’s Bold Combos atau sebarang pizza dengan Pepsi Black 1.5L.
Shamsul Amree berkata, para pelanggan kemudiannya perlu menyertai permainan mengira Pepsi Black dan Pizza yang tersembunyi dan menyerahkan slogan mereka paling kreatif bersama dengan penyertaan peraduan ke laman web Domino’s. – Bernama











