Deepak saman Najib, Rosmah, 2 lagi - Utusan Malaysia

Deepak saman Najib, Rosmah, 2 lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Usahawan permaidani, J. Deepak telah menyaman Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta dua syarikat untuk menuntut ganti rugi berjumlah RM676 juta iaitu kerugian yang dialaminya ekoran dakwaan penipuan beberapa transaksi yang dikatakan berpunca daripada konspirasi melibatkan jual beli tanah.

Deepak, 46, menamakan bekas Perdana Menteri itu dan isteri, sebagai defendan pertama dan kedua manakala syarikat hartanah, Boustead Holdings Bhd. defendan ketiga dan anak syarikatnya, Bakti Wira Development Sdn. Bhd. defendan keempat.

Dalam pernyataan tuntutan bertarikh 12 Oktober lalu yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini, Deepak selaku pihak plaintif mendakwa, dia sebagai pengarah dan pemilik saham terbesar Astacanggih Sdn. Bhd. menandatangani perjanjian perolehan tanah bertarikh 16 Mei 2007.

Perjanjian tersebut menurut pihak plaintif, ditandatanganinya dengan pengarah dan pemilik saham terbesar syarikat Awan Megah (M) Sdn. Bhd., Raja Ropiaah Raja Abdullah yang dikatakan rakan baik atau proksi kepada defendan pertama dan kedua lanjutan daripada peranan atau konspirasi antara Najib dan/atau Rosmah melalui adiknya, Datuk Ahmad Johari Tun Razak.

Perjanjian itu melibatkan tiga bidang tanah seluas 181.9 hektar di Mukim Kapar, Klang dan Mukim Bukit Raja, Jajahan Petaling.

Meskipun pihak plaintif mendakwa, pembayaran deposit sebanyak RM13 juta telah dimajukan oleh Astacanggih kepada Awan Megah dan bon tanah daripada Kuwait Finance House (M) Bhd. dikemukakan kepada Kerajaan Malaysia berjumlah RM72.5 juta oleh syarikatnya itu namun Awan Megah melalui Raja Ropiaah telah gagal dan enggan memajukan geran asal bagi tanah-tanah tersebut untuk didaftarkan pindah milik kepada Astacanggih.

Deepak mendakwa, akibat penipuan dan pengaruh tidak wajar defendan pertama dan kedua, Astacanggih terpaksa akur menjual 80 peratus (16 juta unit saham yang telah berbayar) daripada keseluruhan saham yang dimiliki olehnya dalam syarikat itu (Astacanggih) kepada Boustead Holdings melalui anak syarikatnya, defendan keempat.

Tanah-tanah tersebut dari segi undang-undang menurut Deepak, merupakan milik ekuiti plaintif menerusi Astacanggih semasa pihak plaintif merupakan pengarah, pemegang saham majoriti syarikat itu menandatangani perjanjian perolehan antara syarikat plaintif dengan Awan Megah melalui Raja Ropiaah.

Deepak sehubungan itu antaranya menuntut daripada pihak defendan secara bersama atau berasingan ganti rugi am RM600 juta, ganti rugi teladan RM50 juta dan ganti rugi berpanjangan RM26 juta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN