KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei akan pulang ke tanah air dari Taiwan esok.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, Chong Wei baru sahaja menerima pelepasan untuk kembali ke Kuala Lumpur daripada pasukan perubatan yang merawatnya.
“Saya amat berbesar hati untuk memaklumkan kepada anda bahawa Chong Wei baharu sahaja dibenarkan pulang ke Kuala Lumpur oleh pasukan perubatan esok.
“Bagi pihak BAM, saya menggesa pihak media dan rakyat Malaysia supaya menghormati privasi beliau dan keluarganya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mengenai laporan sebelum itu, Norza berkata, penafian tersebut dibuat kerana Chong Wei belum dibenarkan pulang ketika itu.
BAM pada bulan lepas mengesahkan Chong Wei menghidap kanser hidung tahap awal yang memaksa beliau terlepas aksi Kejohanan Dunia dan Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018. – K! ONLINE











