KUALA LUMPUR 14 Okt. – Pembinaan tempat letak kereta bertingkat dijangka dapat mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas kritikal di Pantai Dalam dan kawasan sekitar.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, bagaimanapun perkara itu masih diperingkat cadangan dan penelitian oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurutnya, beberapa perkara perlu diteliti sebelum kemudahan itu dibina termasuk mencari lokasi yang sesuai.
“Selain pembangunan yang semakin pesat di kawasan sekitar, sikap tidak bertanggungjawab orang awam yang meletakkan kenderaan mereka di bahu-bahu jalan menjadi punca kesesakan berlaku terutama pada waktu puncak,”katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai keluhan pengguna dan penduduk setempat berhubung masalah kesesakan lalu lintas kritikal di sekitar Bukit Kerinchi dan Taman Bukit Angkasa dan kawasan sekitar.
Beliau berkata, selain penguatkuasaann termasuk tindakan sita dan tunda kenderaan terbiar dipertingkatkan, sistem pengurusan trafik perlu diuruskan oleh Pusat Pengurusan Pengangkutan Bersepadu (ITIS) DBKL dengan baik.
Menurut Fahmi lagi, kempen kesedaran melibatkan pihak polis juga akan diperluaskan bagi membentuk komuniti kepolisian bersama penduduk di Taman Bukit Angkasa, Pantai Hillpark serta Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai dan PPR Pantai Ria.










