KUALA KRAI 17 Okt. – Jabatan Perangkaan dijangka melantik kira-kira 70,000 petugas sambilan harian (PSH) bagi melaksanakan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 di seluruh negara.
Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Perangkaan Penduduk dan Demografi Jabatan Perangkaan, Ezatul Nisha Abdul Rahman berkata, keperluan itu adalah berdasarkan unjuran penduduk negara ini yang dijangka mencecah 34 juta dalam tempoh dua tahun lagi.
Kata beliau, selain petugas sambilan tersebut, pelaksanaan bancian yang dijangka mengambil masa selama sebulan itu turut melibatkan penjawat awam daripada pelbagai jabatan.
“Saya jangkakan bancian yang bermula pada bulan Julai 2020 akan melibatkan lantikan seramai 70,000 PSH. Selain petugas sambilan ini, para penjawat awam juga akan dilibatkan. Mereka akan bertindak sama ada sebagai penyelia atau petugas banci.
“Mereka yang terlibat ini akan diagihkan mengikut keperluan di negeri-negeri nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Bicara Statistik 2018 sempaena Hari Statistik Negara peringkat negeri Kelantan, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Perangkaan negeri, Zuraidy Zainal Abidin.
Program itu dihadiri 180 peserta terdiri daripada ketua jabatan Pusat dan negeri, pemimpin pertubuhan perniagaan dan pemimpin masyarakat setempat di sekitar jajahan ini.
Ezatul Nisha dalam pada itu memberitahu, pada tahun depan, pihaknya akan melaksanakan Banci Perdagangan serta Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah.
“Ini adalah sebahagian daripada persiapan sebelum pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020,” katanya.
Sementara itu, Zuraidy memberitahu, setakat ini, pihaknya sudah melantik 70 petugas sambilan bagi melaksanakan kerja-kerja awal pembancian di Kelantan dan jumlah itu dijangka bertambah sehingga lebih 1,000 orang apabila program pembancian sebenar bermula. – UTUSAN ONLINE










