BATU GAJAH 23 Okt. – Polis menahan 14 individu warga asing bersama motosikal yang disyaki dicuri dalam Op Lejang di kawasan ladang kelapa sawit di sini hari ini.
Kesemua lelaki berusia lingkungan 30-an dengan sembilan daripada mereka merupakan warga India dan lima orang lagi adalah warga Indonesia itu ditahan dalam serbuan yang bermula pada pukul 1 pagi.
Serbuan selama lebih tiga jam itu disertai 247 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai pekerja warga asing yang menggunakan motosikal yang disyaki dicuri.
Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan terhadap 180 buah motosikal, didapati 14 daripadanya tidak mempunyai geran atau sebarang dokumen pemilikan kenderaan.
“Kita telah memeriksa kesemua pekerja di kawasan itu bersama kenderaan masing-masing dan majoriti kenderaan dimiliki penduduk tempatan mempunyai geran dan dokumen.
“Kenderaan yang kita bawa balik ini adalah milik pemilik yang tidak dapat memberi keterangan bersabit kenderaan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kesemua motosikal dan individu terlibat dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah untuk siasatan lanjut.











