Polis buru dua lelaki masukkan kucing dalam mesin pengering - Utusan Malaysia

Polis buru dua lelaki masukkan kucing dalam mesin pengering

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK – Dua lelaki bertindak kejam apabila membunuh seekor kucing betina yang sedang bunting dengan memasukkannya ke dalam sebuah mesin pengering di sebuah premis dobi di Taman Gombak Ria di sini semalam.

Rakaman video televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi dua minit 50 saat yang ditularkan oleh Persatuan Haiwan Malaysia itu menunjukkan dua lelaki itu bertindak memasukkan kucing tersebut ke dalam mesin pengering.

Menurut Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika, bangkai kucing tersebut ditemui kira-kira pukul 10.30 pagi semalam dalam keadaan berlumuran darah oleh pelanggan sebelum melaporkannya kepada pemilik premis berkenaan. 

“Kedua-dua suspek itu dipercayai pelanggan tetap kerana sering membasuh baju di situ.

“Pemilik premis berkenaan seterusnya menghubungi pihak kami bagi mendapatkan pandangan sebelum membuat keputusan untuk membuat laporan polis berpandukan bukti rakaman video CCTV premis tersebut malam semalam,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian tersebut daripada pengurus premis itu pada pukul 11.26 malam semalam.

“Sehingga masa kini, pihak polis masih menjalankan usaha untuk mengenal pasti identiti kedua-dua suspek tersebut berdasarkan rakaman video CCTV daripada premis itu.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana  melakukan khianat dengan membunuh haiwan,” katanya di sini hari ini.

Sekiranya ada saksi yang menyaksikan kejadian tersebut diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi menyalurkan maklumat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN