PUTRAJAYA 12 Ogos- Sebanyak 15 pengawal keselamatan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang direman berhubung kes penyelewengan dana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) berjumlah RM3.5 juta dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Nadhirah Abdul Rahim membenarkan semua suspek dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan seorang penjamin, manakala dua lagi suspek telah dibebaskan lebih awal iaitu pada Jumaat lalu.
Sebelum ini, mahkamah mengeluarkan perintah reman selama lima hari terhadap semua suspek bermula 7 Ogos hingga hari ini bagi membolehkan SPRM melakukan siasatan berhubung kes berkenaan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Terdahulu, 15 suspek lelaki yang berumur antara 31 dan 51 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada pada pukul 9.05 pagi dengan menaiki sebuah bas serta berpakaian biasa dan tangan digari.
Difahamkan, suspek yang dibebaskan pada Jumaat lalu itu ialah pegawai keselamatan Gred 52 dan pengawal Gred 11, kedua-dua suspek juga dibebaskan dengan jaminan SPRM beserta seorang penjamin.
Sebelum ini, semua suspek ditahan semasa hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, di sini pada 7 Ogos antara pukul 2.45 hingga 3.15 petang dan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Menurut sumber, SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM840,700 dan sembilan motosikal pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan RM90,000. – UTUSAN ONLINE










