Stephen King merupakan seorang penulis novel terkemuka yang telah menulis lebih 50 buah novel dan 200 cerita pendek.
Selain itu, beliau turut menghasilkan memoir sendiri yang bertajuk On Writing: A Memoir of the Craft pada tahun 2000. Buku ini bukan sahaja mengisahkan kehidupan beliau malah turut memuatkan tips-tips berguna untuk para penulis khasnya dalam genre fiksyen.
Memoir beliau juga mempunyai unsur-unsur jenaka yang membuatkan pembacaan buku ini suatu pengalaman yang menghiburkan. Beliau turut menjelaskan gaya penulisan sendiri yang mungkin berbeza daripada penulis lain.
Antara tips berguna yang beliau kongsikan ialah tegas mengikuti rutin harian seperti waktu menulis dan waktu tidur yang tetap. Waktu pagi merupakan waktu utama beliau untuk menulis, dan beliau menulis hampir setiap hari sepanjang tahun.
Beliau turut mencadangkan tempat khas untuk menulis seperti bilik khas berbanding sering bertukar tempat menulis. Bagi beliau, jika boleh, tiada televisyen atau permainan video untuk berhibur, tiada telefon untuk berhubung serta langsir menutupi tingkap kerana beliau mahukan tiada sebarang gangguan semasa menulis.
Walau bagaimanapun, beliau mendengar muzik sebagai cara mengasingkan diri dari dunia luar.
Selain itu, beliau turut menegaskan kepentingan membaca setiap hari selama empat ke enam jam sehari dalam aktiviti harian beliau. Membaca adalah penting kerana ia memudahkan proses menulis.
Kerap membaca membolehkan kita membina set minda atau mindset yang membolehkan kita menulis dengan penuh semangat tanpa kita sedari. Membaca juga memperbanyak ilmu pengetahuan dan seterusnya mencambah idea penulisan.
Sebagai kesimpulan, buku On Writing: A Memoir of the Craft karya Stephen King merupakan satu memoir menarik untuk dibaca demi mendapatkan inspirasi dalam berkarya, memahami gaya penulisan berkesan untuk kisah fiksyen, serta mendapatkan tips-tips menarik untuk menjadi penulis terkemuka seperti beliau.











