Terpaksa berjauhan dengan keluarga bukan penghalang untuk berjaya - Utusan Malaysia

Terpaksa berjauhan dengan keluarga bukan penghalang untuk berjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Ogos – Walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga dan anak tercinta selama enam bulan, namun itu bukan penghalang bagi pelajar terbaik bagi peringkat Sijil Industri Pengurusan Pertanian (CPIM), Nancy James untuk menamatkan pelajarannya di Institut Antarabangsa Pengurusan Pertanian (IIPM).

Nancy, 37, yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu berjaya menamatkan pelajarannya dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.92.

“Kejayaan ini diperoleh atas sokongan dan doa daripada keluarga yang terpaksa berjauhan selama enam bulan bagi melengkapkan tempoh pembelajaran.

“Pembelajaran saya tidak berhenti di sini, saya masih menyimpan hasrat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana muda pula jika mempunyai kesempatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen IIPM ke-7 di Insititut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Majlis konvokesyen itu menyaksikan seramai 85 kakitangan MARDI menerima sijil profesional khas bagi peringkat diploma dan sijil yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Sallehuddin Hassan.

Turut hadir, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Roff Mohd. Noor; Timbalan Presiden IIPM, Datuk Daud Amatzin; Pengarah Eksekutif IIPM, Halid Hasbullah Boestamam dan Pengerusi Lembaga Profesional dan Penasihat Akademik IIPM, Datuk Dr. Rosli Saruwono.

NORR AMIN RAMLI menunjukkan trofi dan sijil penghargaan pada Majlis Konvokesyen IIPM di MARDI, Serda
NOOR AMIN RAMLI menunjukkan trofi dan sijil penghargaan pada Majlis Konvokesyen IIPM di MARDI, Serdang, hari ini. – UTUSAN ONLINE/ AZLAN HADI ABU BAKAR

Dalam pada itu, seorang lagi penerima anugerah pelajar terbaik bagi Diploma Pengurusan Pertanian IIPM, Noor Amin Ramli berkata, pembahagian masa dengan sebaiknya adalah kunci kepada kejayaannya.

“Selama dua tahun mengikuti pengajian di IIPM, saya perlu bijak membahagikan masa untuk belajar, bekerja dan keluarga.

“Walaupun terpaksa mengorbankan masa pada hujung minggu dan jadual harian yang padat, saya akan pastikan setiap pagi, ia adalah waktu untuk mengulang kaji pelajaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN