Skuad B-16 negara mara ke separuh akhir Piala AFF - Utusan Malaysia

Skuad B-16 negara mara ke separuh akhir Piala AFF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Malaysia mengesahkan tiket ke peringkat separuh akhir  Kejohanan Bola Sepak ASEAN AFF Bawah 16 (B-16) setelah menang tipis 1-0 ke atas Laos pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Gelora Joko Samudro, Surabaya, Indonesia, semalam.

Kemenangan ketiga diraih skuad negara kendalian Raja Azlan Shah Raja So’ib itu menyaksikan mereka mengiringi Thailand yang muncul juara Kumpulan B setelah mencatat empat kemenangan berturut-turut.

Selepas kalah 1-2 kepada Thailand pada perlawanan pertama, Isnin lalu, skuad negara  bangkit mengalahkan Brunei 6-1, Jumaat lepas, sebelum membenam Singapura 4-0, selang dua hari kemudian.

Pada perlawanan hari ini, gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh pemain Laos, Anantaza  Siphongphan  seawal minit keempat setelah beliau menolak masuk ke dalam gawang sendiri hantaran silang pemain negara, Muhammad Fahmi Daniel Mohd Zaaim.

Malaysia akan bertemu dengan tuan rumah, Indonesia yang muncul juara Kumpulan A manakala  Thailand akan membuat perhitungan dengan naib juara Kumpulan A, Myanmar pada peringkat separuh akhir, menurut laman sesawang Persekutuan Bola Sepak ASEAN, www.aseanfootball.org.

Kedua-dua perlawanan berkenaan akan berlangsung di Stadium Gelora Delta, Sidoarjo, Jawa Timur pada  Khamis ini.

Untuk rekod, Malaysia pernah muncul juara kejohanan berkenaan pada 2013 yang berlangsung di Myanmar. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN