KOTA BHARU 12 Ogos – Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) mengharapkan kerjasama serupa Kerajaan Pakatan Harapan sebagaimana komitmen diberikan kerajaan terdahulu dalam pembangunan sosio-ekonomi di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Ab Aziz Yunus berkata, pihaknya sebelum ini menerima kerjasama baik daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menyalurkan peruntukan kewangan bagi pembinaan pelbagai projek infrastruktur dan kemudahan untuk rakyat.
Beliau berkata, antaranya adalah fasiliti seperti Medan Ikan Bakar (MIB); Pusat Transformasi Bandar (UTC); Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPCC) di Pengkalan Chepa dan Pasar Baru Berek 12.
“Kita buat cadangan-cadangan projek kepada Kementerian Kewangan dan mereka luluskan untuk kita laksana.
“Secara ringkasnya kita dapat tanah daripada Kerajaan Negeri dan peruntukan pula adalah daripada Kerajaan Persekutuan.
“Kita harap kerajaan baharu akan meneruskan kerjasama ini malah mungkin lebih lagi terutama dalam pembinaan rumah mampu milik yang mana dahulu kita tidak pernah terima peruntukan kerajaan BN,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra CEO Kumpulan PKINK Bersama Media dan Serahan Sumbangan Sosial Korporat di bangunan PKINK di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) PKINK, Mohamad Nasriff Daud.
Ab Aziz baru dilantik ke jawatan itu pada 1 Ogos baru-baru ini menggantikan Datuk Dr Wan Zawawi Wan Ismail yang tamat kontrak pada 31 Julai lalu. – UTUSAN ONLINE










