Pelakon siri Cinta Tiada Ganti meninggal dunia sesak nafas - Utusan Malaysia

Pelakon siri Cinta Tiada Ganti meninggal dunia sesak nafas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Ogos – Pelakon pembantu telenovela Cinta Tiada Ganti iaitu Nurin Misha, 52, disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas setelah dipercayai menghidap penyakit tonsil sejak beberapa minggu lalu.

Pemilik syarikat pengurusan bakat, J Mazin Talent & Management, Nizam J memaklumkan, Nurin atau nama sebenarnya Nor Amisah Abdullah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.20 pagi di rumahnya yang terletak di Jalan Ipoh, di sini.

“Saya difahamkan, sejak kebelakangan ini tahap kesihatan arwah terjejas dan telah dibawa berjumpa dengan doktor untuk membuat pemeriksaan lanjut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil pemeriksaan, doktor mengesyaki punca yang menyebabkan arwah sukar bernafas seperti biasa adalah disebabkan tonsil,” ujar Nizam J ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, penggambaran untuk watak Makcik Diba, ibu kepada Syanie (lakonan Syamim Farid) yang digalas Nurin masih berbaki beberapa babak lagi untuk dihabiskan.

“Namun, Allah menjemputnya lebih awal dan segala-galanya terserah kepada kebijaksanaan pengarah, Feroz Kader untuk membuat rombakan, sekali gus menangani masalah tersebut,” jelasnya.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bangko, Jalan Kuching dan Allahyarham meninggalkan lima orang anak serta suami.

Selain Nurin dan Syamim, siri Cinta Tiada Ganti turut dibintangi oleh Aedy Ashraf, Nelydia Senrose, Hafidz Roshdi, Ben Amir, Rusdi Ramli, Adam Shadan, Datuk Fizz Fairuz, Marisa Yasmin, Dian P. Ramlee, Wan Sharmila, Sweet Qismina, Emelda Rosmila dan Octovia Manrose.

Karya adaptasi drama popular Filipina, Sana’y Wala Nang Wakas itu disiarkan selama sejam di slot Tiara, saluran Astro Prima, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 6 petang dan diterbitkan sebanyak 100 episod oleh syarikat produksi, Global Station Sdn. Bhd. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×