PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Naim Hamid Hamidin, pelajar Sekolah Seni Malaysia Johor (SSeM Johor) yang menerima pengiktirafan kecemerlangan pada The 19th International High School Art Festival di Tokyo, Jepun.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, Naim Hamid seorang pelajar Tingkatan Empat bidang seni halus itu berjaya mencuri hati para juri dengan hasil lukisan beliau sekali gus mengetepikan lebih 500 hasil karya seni lain pada festival yang diadakan pada 8 Ogos lalu.
“Naim merupakan salah seorang daripada pelajar terpilih yang mewakili negara masing-masing pada festival berkenaan termasuk peserta dari Brunei, United Kingdom serta tuan rumah Jepun,” katanya.
Menurut kenyataan itu, selain hasil karya Naim, empat hasil karya pelajar SSeM Johor lain turut terpilih untuk dipamerkan pada festival tersebut, katanya.
Sebelum ini, Naim Hamid turut diberi kepercayaan menghasilkan potret lukisan minyak Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud yang diserahkan pada Pesta Buku Antarabangsa Riyadh (RIBF) di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Riyadh (RICEC), Riyadh, Arab Saudi pada 2017. – K! ONLINE










