KUALA LUMPUR 8 Ogos – Selepas sebulan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan hadir ke Mahkamah Sesyen di sini pagi ini untuk menghadapi tiga pertuduhan tambahan melibatkan aktiviti pengubahan wang haram berkaitan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd. (SRC International).
Pertuduhan baharu itu dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Seperti sebelum ini, pertuduhan baharu itu akan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi di Mahkamah Sesyen 9 di tingkat dua sebelum kes itu dipindahkan ke hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali di Mahkamah Tinggi di tingkat lima.
Di Mahkamah Tinggi, pertuduhan akan dibacakan semula sebelum pengakuan sama ada bersalah atau tidak bersalah akan direkodkan.
Di Mahkamah Tinggi juga hari ini ditetapkan untuk sebutan empat pertuduhan yang dihadapi oleh Najib pada 4 Julai lalu.
Pada tarikh tersebut, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalah guna jawatan melibatkan dana RM42 juta syarikat SRC International.
Mahkamah juga dijadualkan mendengar permohonan Najib melalui peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakilinya bagi mendapatkan perintah sekatan terhadap media daripada menerbitkan perbincangan berkaitan merit dan pertuduhan tersebut. – UTUSAN ONLINE










