LGBT lapor jika berlaku diskriminasi di tempat kerja - Mahfuz - Utusan Malaysia

LGBT lapor jika berlaku diskriminasi di tempat kerja – Mahfuz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 12 Ogos – Kementerian Sumber Manusia bersikap terbuka untuk menerima sebarang laporan dari golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sekiranya hak-hak mereka selaku pekerja dinafikan oleh mana-mana pihak termasuk oleh majikan sendiri.

Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, golongan berkenaan boleh membuat laporan mengenai sebarang isu penindasan atau diskriminasi terhadap mereka kerana hak golongan tersebut selaku rakyat tidak boleh dinafikan.

“Setakat ini difahamkan masih tiada laporan. Mungkin perkara itu (diskriminasi) berlaku tetapi tiada laporan dibuat kerapa kebiasaannya orang tak berani lapor.

“Bukan saja isu LGBT, malah isu majikan gagal sediakan tempat kerja selamat juga tak ramai yang berani laporkan kerana bimbang dibuang kerja. Tetapi dalam isu LGBT ini, mungkin tak ada orang berani tampil ke depan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Convent di Perpustakaan Awam Negeri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, isu berkaitan LGBT tidak seharusnya dilihat dalam kerangka yang salah.

“Kita harus lihat dalam konteks mendidik dan mencari jalan bagaimana hendak bawa mereka balik ke identiti normal. Itu yang perlu dilakukan.

“Bukan asyik kata mereka itu ancaman dan bahaya. Yang penting kini adalah bagaimana hendak selamatkan dan mendidik generasi baharu supaya dapat mengenal pasti identiti mereka sejak kecil terutamanya menerusi pemantauan ibu, ayah dan guru,” katanya.

Tambahnya, tindakan sesetengah pihak memperlihatkan LGBT sebagai satu ancaman pada akhirnya hanya akan membentuk pertembungan kebencian dalam kalangan orang ramai.

Ditanya mengenai isu penggunaan tandas di tempat kerja, Naib Presiden Amanah itu berkata, golongan LGBT perlu sedar akan asal kelahiran mereka berhubung perkara itu.

“Kalau dah lelaki, guna tandas lelaki sajalah. Tak payah fikir nak tuntut itu dan ini kerana tindakan tersebut hanya akan membuatkan masyarakat kita jadi bercelaru.

“Tapi saya fikir itu bukan isunya. Isunya sekarang adalah memberi kesedaran kepada mereka dan dekati golongan berkenaan secara lemah lembut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN