IPOH 12 Ogos – Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dalam kereta yang diletakkan di tepi Jalan Lahat berhampiran Pondok Polis Little India di sini hari ini.
Mayat lelaki berusia 59 tahun itu dijumpai oleh orang awam di dalam kereta jenis Toyota Camry dalam keadaan terbaring dan keretanya berkunci.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam pada kira-kira pukul 10.30 pagi.
“Sebaik sahaja anggota polis tiba di tempat kejadian, didapati mangsa berada dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu dan pintu keretanya berkunci.
“Polis menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Senam bagi tujuan membuka pintu kereta yang berkunci dan mengeluarkan mayat lelaki berkenaan,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










