KUALA LUMPUR 8 Ogos – Bekas Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam mempersoalkan tindakan pihak berkuasa menghalang kemasukan orang awam ke pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Beliau yang tiba di hadapan pintu pagar kompleks berkenaan kira-kira pukul 9 pagi berkata, orang awam yang tiba sejak pukul 7 pagi untuk memberi sokongan moral kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dihalang masuk.
“Kerajaan Pakatan Harapan dilihat semakin terdesak dengan menegah rakyat biasa dari masuk memberikan sokongan kepada Najib.
“Kawasan mahkamah adalah kawasan awam, tidak ada sebab mengapa orang awam tidak dibenarkan masuk,” katanya kepada media di sini.
Najib dijangka didakwa dengan tiga lagi tuduhan tambahan di Mahkamah Sesyen pagi ini membabitkan kesalahan pengubahan wang haram.
Difahamkan tuduhan itu adalah mengikut Seksyen 4 Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Pada 4 Julai lalu, Najib, 65, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya, berhubung dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta. – UTUSAN ONLINE.










