Beberapa perkembangan selepas perubahan kerajaan pada 9 Mei lalu meresahkan orang Melayu dan Islam. Misalnya, pelantikan Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara serta cadangan menyemak semula 102 institusi pentadbiran di negara ini. Apakah keyakinan yang boleh diberikan Datuk Seri bagi menghilangkan kebimbangan ini?
ANWAR: Dari segi dasar, saya menyokong langkah-langkah yang diambil. Tetapi saya tidak fikir ia boleh menyimpang daripada landasan dan semangat Perlembagaan kita tentang prinsip-prinsip utama; bahasa, hak keistimewaan (orang Melayu dan bumiputera), Islam dan juga kedudukan Raja-Raja Melayu.
Jadi perubahan-perubahan kecil itu, ia menimbulkan sedikit kegusaran kerana orang Melayu seperti mana saudara sebutkan, dikejutkan dengan perubahan yang kelihatan agak mendadak.
Tetapi pada hemat saya dan saya berikan keyakinan ia tidak mungkin merubah dasar yang telah disepakati dan ini dalam prinsip dan semangat Perlembagaan kita.
Bahkan ada kenyataan-kenyataan yang kadang-kadang keterlaluan dan saya secara terbuka pernah menegur mengingatkan menteri-menteri jangan terlalu celupar sehingga menyinggung perasaan kaum.
Seperti mana juga kita harus memberi keyakinan kepada orang Cina, India dan lain-lain, orang Melayu juga harus diberikan keyakinan bahawa negara ini tidak akan menyimpang daripada hasrat membebaskan, memerdekakan dan membantu mengangkat martabat, harakat dan darjat Melayu dalam pelbagai bidang.
Pendekatan kita mungkin berbeza. Seperti mana pernah saya ungkapkan dahulu, saya tidak terlalu cenderung tentang ‘kebumiputeraan’ seperti mana pernah diungkapkan sejak 1969 di era Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Muhammad Ghazali Shafie.
Saya sebutkan pertama kali kebumiputeraan itu diungkapkan di depan kami dalam seminar Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Pada masa itu, saya pemimpin PKPIM.
Jadi saya fikir ini harus berganjak. Kita harus menumpukan kepada Malaysia. Kalau saya sebut tentang pembasmian kemiskinan, walaupun tidak sebut bumiputera, kalau benar efektif, ia pasti akan membantu sejumlah besar bumiputera ketimbang kaum-kaum lain. Ini pendekatan.
Umpamanya kemudahan pendidikan, pendemokrasian akses kepada pendidikan berkualiti, itu harus ditekankan. Kita tidak boleh fikir umpamanya meritokrasi dan kemudian biar yang terpinggir dan termiskin itu dalam keadaan sekarang. Itu maknanya tidak mendukung prinsip keadilan.
Jadi, sementara kita mendukung meritokrasi, kita juga harus beri ruang supaya anak-anak Melayu desa dan peribumi lain di pedalaman juga diangkat supaya mereka dapat bersama bersaing dalam meritokrasi.
Jadi, bagi saya, tentunya akan memaklum kepada Tun Dr. Mahathir. Saya juga akan lebih aktif menemui golongan budayawan, bahasa, sastera dan juga peniaga dalam kalangan masyarakat Melayu untuk memberi keyakinan dan meminta mereka memberikan pandangan supaya keadaan ini dapat diperbaiki dengan dasar yang berganjak.
Dasar, tidak mempertahankan yang lama. Walaupun yang baharu, saya tidak akan bersetuju atau pertahan kalau ada percubaan untuk meminggirkan masyarakat Melayu.











