KUALA LUMPUR 12 Ogos- Penyanyi 90-an Azreen Manan dilaporkan berada dalam keadaan lemah kini di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya.
Menerusi sumber daripada ahli keluarga terdekatnya, penyanyi yang popular menerusi lagu Semalam Yang Berlalu itu juga sudah berada pada tahap akhir rawatan kanser pangkal rahim dihidapinya sejak dua tahun lalu.
“Apa yang boleh saya kata kini dia berada dalam keadaan yang sangat lemah.
“Jadi bagi mengenali dirinya bolehlah melawat,” kata sumber tersebut.
Sementara itu Azreen atau nama sebenarnya Azrina Abdul Manan, 41, pernah menjadi perbualan ramai apabila berkahwin dengan adinda Sultan Pahang iaitu Datuk Seri Tengku Kamaruzzaman Sultan Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Tengku Intan pada usia 16 tahun.
Melalui perkahwinan itu, Azreen dikurniakan dua orang anak yang kini berusia 24 tahun dan 21 tahun.
Menghasilkan album pertamanya pada usia 12 tahun, Azreen juga pernah mendapat tempat ketiga semasa mewakili Malaysia dalam pertandingan Asia Bagus pada tahun 1992 di Jepun.
Selain itu Azreen juga pernah membintangi filem Azizah The Legend. – UTUSAN ONLINE










