PULAU PINANG 12 Ogos – Angkara cemburu, seorang wanita putus pergelangan tangan ditetak menggunakan sebilah pisau oleh bekas suaminya sendiri dalam kejadian di Flat Bayu Nyaman, Bayan Lepas di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun yang sedang dalam proses penceraian dikatakan diserang bekas suaminya berusia 39 tahun ketika berada di kawasan rumahnya.
Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superitendan A. Anbalagan berkata, suspek menyerang mangsa kerana dikatalan tidak berpuas hati selepas bekas isterinya itu didakwa mempunyai hubungan dengan lelaki lain sejak dua tahun lalu.
“Pada awalnya kita menerima laporan berlaku kejadian ragut, namun selepas siasatan lanjut, mangsa memaklumkan dia diserang dengan sebilah pisau oleh bekas suaminya.
“Susulan itu, kita melancarkan gerakan memburu suspek yang kemudiannya berjaya ditahan di hadapan surau Jalan Maccalum di sini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Anbalagan, suspek turut mengaku menetak bekas isterinya itu dan polis turut merampas sebilah pisau yang digunakan dalam kejadian tersebut.
Tambahnya, suspek yang mempunyai empat rekod jenayah termasuk berkaitan dadah turut mengalami luka-luka di bahagian tangan dipercayai kerana bergelut ketika kejadian itu.
Katanya, isteri suspek yang parah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE










