2,134 kes HFMD dilaporkan di Negeri Sembilan sejak 1 Januari - Utusan Malaysia

2,134 kes HFMD dilaporkan di Negeri Sembilan sejak 1 Januari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Sebanyak 2,134 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di Negeri Sembilan dari 1 Januari hingga 11 Ogos lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, ia merupakan peningkatan 256.9 peratus berbanding 598 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

 “Sebanyak 489 kes HFMD dilaporkan di Seremban, Port Dickson (160 kes) Jempol (156 kes), Kuala Pilah (131 kes), Rembau (96 kes), Jelebu (62 kes) dan Tampin (58 kes),” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Veerapan berkata, pada minggu ke-32 tahun ini sahaja, bilangan kes HFMD didaftarkan di Negeri Sembilan sebanyak 269 kes berbanding 268 kes didaftarkan pada minggu sebelumnya. 

Menurut beliau, sebanyak 190 kes itu dilaporkan di Seremban, Port Dickson (38 kes), Jempol (16 kes), Kuala Pilah (12 kes), Jelebu (tujuh kes), Tampin (lima kes) dan satu kes di Rembau.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak enam buah, tadika dan pra-sekolah di negeri ini masih ditutup disebabkan oleh penyakit HFMD.

Kata beliau, tiga tadika yang masih ditutup adalah Tabika Permata Perpaduan di Seremban, Tadika Little Caliph di Kuala Pilah dan Tadika Pasti Ar-Raudhah di Jempol.

Jelas beliau, dua pra-sekolah yang masih ditutup di Sekolah Kebangsaan (SK) Seremban 2A dan SK Taman Tuanku Jaafar 2 serta sebuah taska iaitu Taska Permata Kampung Mengkan di Jempol. 

“Tiada sekolah ditutup sepenuhnya di Negeri Sembilan. Aktiviti-aktiviti pendidikan kesihatan telah dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN