BINTULU – Tujuh individu warga Indonesia termasuk seorang wanita ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di Jalan Abang Galau di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Superintendan Sahar Abd. Latif berkata, serbuan pada pukul 1.30 petang itu dilakukan sepasukan anggota pasukan polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.
Jelasnya, kesemua suspek yang ditahan tersebut berusia antara 20 hingga 32 tahun.
“Hasil pemeriksaan telah menjumpai tiga keratan tiub penyedut minuman yang berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu dengan anggaran berat kasar 0.85 gram (g).
“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu turut menemui sepeket pastik lut sinar mengandungi empat peket plastik berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu dengan anggaran berat kasar 11.70g,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah Sahar, pemeriksaan lanjut di ruang tamu rumah menemui sepeket plastik lut sinar mengandungi 21 keratan penyedut minuman pelbagai saiz berwarna hijau muda berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu dengan anggaran berat kasar 10.07g.
Selain itu katanya, polis turut menemui sepeket plastik lut sinar mengandungi 25 keratan penyedut minuman pelbagai saiz berwarna kekuningan berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu dengan anggaran berat kasar 11.45g.
“Semua dadah itu kemudiannya dirampas dengan berat keseluruhan sekitar 34.07g membabitkan nilai jualan berjumlah RM4,500.
“Ujian air kencing mendapati lima daripada tujuh individu termasuk wanita itu positif dadah,” katanya.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. – K! ONLINE










