LONDON 23 Julai – Rafael Marquez diberi penghormatan oleh Barcelona apabila bekas kapten skuad kebangsaan Mexico itu mengumumkan persaraannya setelah 22 tahun menjalani karier sebagai seorang pemain bola sepak.
Marquez, 39, merupakan tonggak utama di Camp Nou dan telah memenangi empat kejuaraan La Liga dan Liga Juara-Juara dua ketika bersama Barca sepanjang tahun 2003 hingga 2010.
Dan Barca mengucapkannya menerusi Twitter: “Terima kasih Rafa dan selamat maju jaya!”.
Marquez, 39, yang merupakan pemain ketiga dapat beraksi dalam lima edisi Piala Dunia dan membantu Mexico mara ke pusingan 16 terakhir di Rusia 2018, dinobatkan sebagai salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman skuad El Tri.
Pemain tersebut juga merupakan pertahanan paling berusia ketika di Piala Dunia 2018 Rusia.
“Sepanjang tempoh 22 tahun, saya berpuas hati sebab dapat melaksanakan pengorbanan, usaha, kesilapan, keputusan bijak dan hasilnya, ia memberikan kesedihan, kadangkala kekecewaan tetapi kebanyakannya adalah kegembiraan.
“Saya mahu berterima kasih kepada penyokong yang telah menunjukkan sokongan kepada saya.
“Mereka akan terus kekal menjadi pemangkin buat saya untuk terus melakukan yang terbaik dalam apa jua bidang yang saya ceburi, di mana sahaja,” ujarnya.
Marquez kini mewakili Atlas, kelab dari Liga MX setelah menyarung jersi New York Red Bulls diikuti Leon dan Hellas Verona sejurus berhijrah dari Barca.- AGENSI










