Suami maut, isteri parah dalam kemalangan - Utusan Malaysia

Suami maut, isteri parah dalam kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH 23 Julai – Seorang lelaki maut manakala isterinya cedera parah selepas kereta mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas di Kilometer 17, Jalan Kuala Pilah-Tampin di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 12.45 tengah hari itu, Lee Tiang Hock, 55, yang memandu kereta jenis Perodua Myvi meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya, Annie Keong It Pin, 52, mengalami kecederaan dalaman.

Ketua Polis daerah, Superintenden Haslah Bachok berkata, ketika kejadian mangsa dan isteri dalam perjalanan dari arah Kuala Pilah menuju ke Tampin.

“Kenderaan mereka dipercayai hilang kawalan sebaik melalui satu selekoh lalu melanggar sebuah bas henti-henti dari arah bertentangan.

“Akibat perlanggaran tersebut, pemandu kereta itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera teruk di bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat Tiang Hock dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sini untuk bedah siasat manakala isterinya dirawat di hospital sama.

Katanya, siasatan berhubung kes itu masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN